Saturday 1 February 2014

Generasi Y Malaysia boleh dan wajar goncang dunia

Ilmu itu luas, pelbagai cabang ilmu dan bidang yang boleh dan perlu diterokai oleh golongan muda. Jadikan usia muda ini waktu untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Luaskan skop pembacaan untuk memastikan ia ‘balance’ dan tidak taksub pada mana-mana pandangan dan idea. Menterjemahkan bacaan ke dalam bentuk penulisan dapat membantu proses perkembangan akal di samping mendidik masyarakat budaya membaca dan cinta kepada ilmu.


Budaya ilmu dan perbincangan ilmiah sepatutnya boleh dilakukan secara tidak formal. Perbincangan yang merangkumi aspek politik, agama dan akademik ini adalah kerana ia berkait rapat dengan generasi hari ini. Diskusi seperti ini amat penting kepada mahasiswa dalam memastikan mereka cakna dan faham isu yang berlaku di dalam negara pada hari ini. Saya sangat percaya bahawa pembentukan budaya cinta kepada ilmu dan tamadun ilmu boleh dibentuk melalui diskusi di kedai makan dan bukan terlalu fokus dalam dewan kuliah serta kelas semata-mata.


Falsafah pendidikan

Memetik ringkasan daripada tulisan Datuk Saifuddin Abdullah dalam bukunya “Memacu Transformasi”, beliau mencadangkan nisbah 70 peratus akademik dan 30 peratus kokurikulum dalam sistem pendidikan dan latihan (sekolah, IPT dan Institusi Kemahiran) bagi menggantikan nisbah 90:10 yang diamalkan sejak pertengahan tahun 2000 lagi. Saudara Anas menyanggah dan mencadangkan bahawa kita perlu keluar dari sistem sedia ada dan melihat contoh di luar serta meneroka pedagogi kritis seperti Freire.


Objektif Falsafah Pendidikan di Malaysia adalah untuk memperkembang potensi seseorang khususnya dalam konteks mahasiswa secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan modal insan yang seimbang dan harmonis daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha yang berterusan seperti ini selaras dengan matlamat asal untuk melahirkan khalifah berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi impak yang positif terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan tanah air.


Masyarakat pada hari ni memperkecilkan skop pendidikan hanya kepada masuk kelas dan peperiksaan. Itulah yang menjadi isu sebenar kenapa mereka yang skor CGPA yang tinggi tetapi sebenarnya “they are nothing”. Ramai yang menjadi mangsa dan hamba kepada sistem pendidikan sekarang ini. Mereka seakan-akan tidak jelas akan matlamat yang sepatutnya dicapai oleh insan yang bergelar mahasiswa. Jika dilihat pada hari ini ramai graduan yang keluar berbekalkan sijil kelas pertama tetapi kualitinya kurang. Suka untuk saya memetik hasil kajian daripada Prof Goleman daripada Universiti Harvard.


Kajian beliau membahagikan soft skills dan hard skill (70:30). Hasil kajian beliau menunjukkan soft skills amat penting kepada diri seseorang dan jika dikaitkan dengan fakta yang mengatakan ramai graduan yang tiada kerja maka saya boleh katakan graduan tersebut kekurangan dan lemah soft skills. Oleh itu, saya berpendirian bahawa mahasiswa yang tidak menyertai atau kurang mengambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan, kemasyarakatan, aktivisme dan persatuan mereka akan gagal dan kurang keyakinan dalam menempuh era globalisasi. Aktiviti seperti ini mampu membentuk passion mahasiswa dan seterusnya meningkatkan kualiti serta daya pemikiran kritis generasi baharu.


Politik mahasiswa

Debat merupakan pendekatan paling efektif dalam memperkukuh pemikiran intelektual dan kritis. Wasilah ini dapat menghasilkan berkomunikasi dengan efektif, berfikiran kritikal dan memberi alasan atau jawapan yang bermoral. Saya melihat senario politik sekarang jauh daripada politik berlandaskan ilmu. Generasi muda hari ini amat dahagakan politik yang seimbang tanpa diskriminasi oleh mana-mana pihak.


Saya begitu muak dengan permainan politik lucah, fitnah dan rasis dan sangat mengimpikan politik yang bersandarkan hujah dan idea. Kalau seburuk inilah keadaannya, maka saya risau akan generasi baharu yang kerajaan harapkan untuk memimpin negara masa hadapan. Oleh itu, saya merasakan signifikan kepada mahasiswa untuk tahu dan jelas apa itu politik. “Political education” begitu penting kepada mahasiswa dalam memandu mereka beraksi dalam kancah politik sebenar. Gaya politik mahasiswa di kampus khususnya, memberi gambaran bahawa begitulah gaya politik tanah air untuk masa hadapan kerana generasi muda merupakan pemimpin masa depan.


Keterbukaan dan kebebasan dalam menerima maklumat adalah penting kepada mahasiswa untuk menilai. Bagaimanapun, saya yakin bahawa generasi pada hari ini mudah untuk menerima maklumat melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter serta laman web. Saudara Anas memetik daripada T S Elliot, “Di manakah hilangnya ilmu di tengah-tengah bibit maklumat?”.


Namun selama pemerhatian, hanya sesetengah sahaja yang melakukan kajian dan faham akan maklumat yang diterima. Majoritinya hanya menerima bulat-bulat apa yang dibaca dan terus share kepada orang sekelilingnya. Generasi yang celik maklumat belum tentu celik politik kerana individu yang celik politik, mereka akan lakukan kajian dan mereka belajar dan terus belajar untuk memastikan maklumat yang diterima sama ada sahih atau tidak.


Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) memperlihatkan satu perubahan paradigma yang radikal oleh kerajaan. Pindaan seksyen 15 Auku, bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli politik tetapi berpolitik kepartian tidak dibenarkan di dalam kampus. Kalau dulu, Auku menyekat partisipasi secara langsung mahasiswa dalam politik partisan namun setelah dipinda sedikit sebanyak membuka ruang kepada mahasiswa untuk aktif berpolitik kepartian. Objektif pindaan Auku adalah untuk menegakkan hak mahasiswa berpolitik yang dijamin oleh Perlembagaan dan meningkatkan partisipasi mahasiswa dalam politik. Pindaan ini menunjukkan sedikit keterbukaan kerajaan dalam membenarkan partisipasi mahasiswa dalam politik. Namun begitu, pindaan Auku 2012 tidak memberi kesan yang besar kepada mahasiswa berbanding sebelum pindaan kerana pindaan yang dibuat tidak secara komprehensif.


Kalau Auku membelenggu mahasiswa di Universiti, Akta Institut-Institut Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) pula memberi kesan yang besar kepada rakan-rakan Institut Pendidikan Guru (IPG).


(a) Merujuk kepada Bahagian IV, Kesalahan-kesalahan, Seksyen 10 (1)

Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar sesuatu institusi, boleh menjadi ahli politik atau boleh dengan apa-apa cara bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau mana-mana jua pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang lain, sama ada atau tidak ia ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang, sama ada ianya adalah di dalam Malaysia, atau di luar Malaysia, kecuali sebagaimana diperuntukkan oleh atau di bawah Akta ini atau kecuali sebagaimana diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Menteri.


(b) Merujuk kepada Bahagian IV, Kesalahan-kesalahan, Seksyen 10 (3)

Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar sesuatu Institusi, boleh menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditakrifkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau sebagai menyatakan sokongan atau simpati dengan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang haram.


Secara jelas, pelajar tidak dibenarkan untuk menjadi ahli mana-mana persatuan, parti politik, pertubuhan atau kumpulan sekalipun didaftarkan secara sah baik di dalam mahupun luar Malaysia. Saya berpandangan bahawa sekatan untuk pelajar menyertai dan melibatkan diri dalam persatuan atau pertubuhan, menyekat potensi pelajar untuk menggilap bakat memimpin seterusnya soft skills pelajar susah untuk dibentuk. Beberapa rakan daripada IPG pernah mengadu bahawa mereka dihalang untuk aktif sebagaimana mahasiswa di Universiti. Hal ini memberi petanda yang kurang baik kepada negara kerana tugas guru adalah untuk menghasilkan modal insan kelas pertama. Kewujudan Akta 174 tidak dinafikan banyak baiknya dan juga tidak dinafikan ia memberi kesan yang negatif kepada perkembangan potensi dan bakat pelajar.


Harapan kepada Gen Y

Ramai dalam kalangan Ilmuan Islam terdahulu, sudah memimpin ummah ketika usia muda. Sebagaimana Hassan Al-Banna (1906-1949) merupakan anak muda yang berani menubuhkan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada 1928 sehingga gerakan ini sangat terkenal pada abad ke-20 terutama generasi muda yang berpendidikan. Ikhwanul Muslimin terus menjadi tarikan terbesar kepada anak muda pada ketika itu walaupun ideologi barat seperti komunisme dan sosialisme sedang marak membakar idealisme kaum muda namun semakin ramai yang berbai’ah dengan Hassan Al-Banna.


Hassan Al-Banna membuktikan bahawa usia muda merupakan masa paling sesuai dan kemuncak untuk melakukan perubahan kepada masyarakat dunia dan Malaysia khususnya. Seperti ungkapan Anas Alam Faizli, setiap rumah perlu ada graduan dan graduan tersebut perlu menjadi ejen perubah kepada keluarga dan seterusnya negara. Beliau juga memetik daripada mukadimah oleh Ibnu Khaldun bagaimana pentingnya pendidikan dan inclusiveness kepada pendirian negara bangsa.


Waktu ini adalah paling sesuai untuk Gen Y sebagai pencetus dan ejen perubahan yang memberi impak yang positif kepada agama, bangsa dan negara.


Pengaruh orang muda amat kuat seperti mana pidato Sukarno, “Jika aku diberi 100 orang tua akan kugoncangkan sebuah gunung yang terdapat di Indonesia, manakala jika aku diberi 10 orang pemuda akan kugoncangkan dunia".


Sejarah menunjukkan ramai pemuda yang melakukan perubahan dan membantu kemenangan Islam. Generasi hari ini perlu bangkit untuk berjuang menegakkan keadilan dalam setiap chapter kehidupan, sosial, ekonomi dan agama. Asas utama dalam perubahan adalah ilmu dan idea dan ia memerlukan pembacaan yang pelbagai. Tidak perlu menyekat mana-mana idea atau pandangan kerana Gen Y berhak menilai yang mana salah atau betul. Kebangkitan anak muda berasaskan ilmu pengetahuan dan pelaksaanaan memberi signal bahawa negara kita akan lebih terjaga dan tersusun pada masa hadapan.

Monday 30 December 2013

2014 tahun ‘sengsara’ rakyat – Ahmad Irfan Hani

Selang dua hari lagi, tahun 2013 semakin melabuhkan tirainya namun ia bukanlah sesuatu yang mampu menggembirakan hati rakyat pelbagai lapisan. Rakyat seolah-olah dihantui oleh suatu episod yang ngeri yang bakal menjelma pada tahun 2014. Tidak cukup dengan pelbagai sekatan terhadap rakyat termasuklah yang terbaru, sekatan terhadap akhbar The Heat.

Kebebasan dan hak bersuara rakyat dihalang malah akan menahan sesiapa pun jika didapati bercanggah dengan suara kerajaan. Demokrasi di Malaysia makin lesu dek kerana kebebasan bersuara disekat! Suara rakyat hanyalah menghiasi di ruangan kedai makan namun itu juga dipantau ketat oleh kerajaan. Sungguh pun begitu, semua itu hanyalah satu segmen daripada hidup rakyat.

Selepas tirai 2013 dilabuhkan, rakyat akan berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin kronik. Ya, pada saat ini rakyat sudah pun terkesan dengan kuasa beli yang jatuh merudum ditambah lagi harga barang semakin meningkat. Baru-baru ini kerajaan mengisytiharkan untuk menarik subsidi sebanyak ataupun rasionalisasi subsidi sebanyak RM0.20 terhadap harga minyak.

Pada ketika itu rakyat sekali lagi menerima beban oleh kerana minyak merupakan antara barangan asas dalam kehidupan. Mahu ataupun tidak, rakyat terpaksa akur dan mengikut sahaja tindakan kerajaan. Bantahan demi bantahan telah dibuat namun hanya pelaburan yang sia-sia.

Tahun 2014 merupakan tahun sengsara bagi rakyat Malaysia. Inflasi ialah suatu kenaikan dalam tingkat harga umum barangan dan perkhidmatan. Kadar inflasi yang dijangkakan akan melonjak naik kepada 3.5% hingga 4% (Consumer Price Index). Kesan inflasi menyebabkan reducing purchasing power atau penurunan kuasa beli individu. Maknanya, setiap ringgit pendapatan akan mampu membeli sedikit barangan dan perkhidmatan berbanding sebelum ini.

Peningkatan kos sara hidup dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Namun ada yang memberi respons bahawa kerajaan tidak mampu menyekat kenaikan harga barang dalam keadaan ekonomi semasa sekarang. Saya mungkin boleh bersetuju dalam satu sudut tetapi isu yang di highlightkan oleh rakyat adalah soal cara perbelanjaan dan mengurus kewangan oleh kerajaan. Laporan Audit secara jelas menunjukkan tahap ketirisan, rasuah, keborosan, perbelanjaan secara berlebihan dan tidak cekap dalam mengurus kewangan negara.

Tun Dr Mahathir juga menyelar bahawa banyak yang dapat dijimatkan jika kerajaan serius bertindak berikutan Laporan Ketua Audit Negara mengenai ketirisan kerajaan.  Pendapatan negara meningkat dua kali anda dalam tempoh 10 tahun namun persoalannya di mana hasil itu pergi?

Mantan Perdana Menteri keempat mengatakan Putrajaya boleh meningkatkan pendapatan melalui pengurangan kos dan bukan melalui kenaikan harga barang keperluan. Beliau mengatakan kerajaan boleh menggunakan konsep cost down untuk mengurangkan pembaziran.

Menurut beliau lagi, “kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya.”

GST
Kalau ikut keadaan sekarang, kita dikenakan satu cukai yang dinamakan Sales and Services Tax (SST). Kerajaan mengenakan SST atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan dengan kadar 10%. Namun menerusi bajet 2014, kerajaan Barisan Nasional mengumumkan akan menggantikan SST dengan Goods and Services Tax (GST) atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebanyak 6% yang akan berkuat kuasa pada April 2015.

Apa itu GST?
GST ataupun dikenali juga VAT diperkenalkan oleh Maurice Laure di Perancis pada tahun 1954 yang merupakan negara pertama menggunakan sistem GST. Ia adalah cukai yang dikenakan bagi setiap urus niaga (sebarang pertukaran barang atau perkhidmatan di antara dua pihak atau lebih sama ada melibatkan pertukaran wang atau pun tidak).

GST dikenakan kepada semua barangan  dan perkhidmatan kecuali yang disebut oleh kerajaan. Sebagai contoh, kerajaan mengecualikan barang makanan asas seperti:

1. Beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dal, rempah ratus, ikan masin, cencaluk, budu dan belacan.

2. Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

3. Perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, kereta api, LRT, teksi, feri, bot, tol serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

4. Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih.

Dengan pelaksanaan GST, ia memberi kesan kepada 3 aspek utama iaitu skop, kos niaga dan inflasi. GST menghasilkan skop yang lebih besar berbanding dengan SST sehinggakan lebih banyak barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai walaupun kadar yang dinyatakan lebih rendah. Dalam pada itu, ia juga memberi kesan langsung kepada kos niaga kerana pengilang terpaksa mengadakan invois baru dengan mengupah firma akauntan untuk merekod.

Tahukah bahawa peniaga memerlukan perbelanjaan sebanyak RM15,000 setahun untuk melaksanakan sistem GST? Apabila hampir semua barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai  dan kos niaga meningkat, ia memberi kesan kepada peningkatan kadar inflasi dan harga sesuatu barang. Keadaan ini telah dibuktikan oleh negara-negara yang telah melaksanakan sistem GST.

Perbezaan di antara GST dan SST adalah GST dikenakan pada setiap peringkat manakala SST dikenakan hanya pada satu peringkat sahaja iaitu pengilang.

Kedua, GST dikenakan kepada setiap barangan dan perkhidmatan kecuali yang dinyatakan oleh kerajaan berbanding SST yang dikenakan terhadap barangan dan perkhidmatan yang dinyatakan oleh kerajaan.

Ketiga, kadar yang dikenakan terhadap GST ialah kadar standard iaitu 6% sebaliknya kadar yang dikenakan terhadap SST sebanyak 10%. Namun tidak dinafikan bahawa GST di antara  sistem cukai yang terbaik namun dengan keadaan ekonomi semasa di Malaysia sekarang, ia tidak sesuai. Rakyat bukan sahaja bangkang GST dilaksanakan tetapi juga dengan kadar awal ditetapkan sebanyak 6%.

TARIF ELEKTRIK
Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru sahaja mengisytiharkan keuntungan sebanyak RM4.46 bilion dalam laporan kewangan berakhir 2013 yang mana keuntungannya semakin meningkat daripada RM4.41 bilion pada tahun sebelumnya.

Sungguh aneh dan pelik kenapa dalam masa TNB mengaut keuntungan billion ringgit namun dalam masa yang sama tarif elektrik dinaikkan. Kenapakah kerajaan membiarkan sebegitu rupa ataupun ada perjanjian lain yang terpaksa dituruti sehingga rakyat yang terpaksa menerima beban.

Namun, kerajaan menjawab bahawa kenaikan tarif elektrik ini tidak melibatkan 4.6 juta isi rumah kerana kenaikan tarif tidak memberi kesan kepada golongan domestik disebabkan penggunaannya rendah.

TOL
Desas-desus mengatakan harga tol diramalkan akan naik antara 30 sen sehingga RM1 dan sebanyak 13 tol yang terlibat dalam semakan semula kadar tol. Menurut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdul Wahib Omar mengesahkan kenaikan tol yang akan berlaku dalam tahun 2014 adalah disebabkan ia sebahagian daripada perjanjian konsesi yang dimeterai oleh kerajaan. 

Terdapat tiga syarikat besar yang memegang konsesi lebuh raya seperti PLUS, Prolintas dan Gamuda. Plus dan Prolintas dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan manakala Gamuda merupakan syarikat swasta namun terdapat juga agensi-agensi kerajaan sebagai pemegang saham.

Sebahagian besar pemegang konsesi lebuh raya terdiri daripada anak-anak syarikat milik kerajaan persekutuan. Kerajaan sepatutnya ada hak untuk campur tangan dan berunding semula demi kemaslahatan rakyat.

HARAPAN RAKYAT
Rakyat sudah cemuh dan hampa dengan segala kata-kata menteri yang langsung tidak merasai derita dan kepedihan rakyat. Cukuplah para menteri mengeluarkan statement yang langsung tidak masuk akal malah langsung tidak memberi solusi kepada kehidupan rakyat. Kerajaan selalu sebut bahawa peningkatan harga barang atau tarif elektrik tidak melibatkan semua lapisan namun tahukah kerajaan bahawa kenaikan itu memberi kesan kepada kenaikan kos pengeluaran.

Maknanya, syarikat-syarikat pengeluar terpaksa menanggung kos yang semakin tinggi dan dalam masa yang sama terpaksa menaikkan harga. Hal-hal seperti ini memberi kesan secara berderetan yang bermula dari pengilang sehinggalah isirumah.

Agak terkilan dengan Kementerian Dalam Negeri yang mengatakan himpunan 31 Disember 2013 merupakan himpunan untuk menggulingkan kerajaan. Sebelum itu elok rasanya untuk kita rujuk semula apakah objektif asal perhimpunan ini yang mana bermotifkan membantah kenaikan kos sara hidup secara mendadak.

Sangat hairan dengan kerajaan yang seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri. Maka, tidak hairanlah kalau Tun Mahathir pernah menyebut, “jangan lama-lama memerintah, nanti akan lahir lebih ramai pemimpin yang bodoh”.

Ketika US berhadapan dengan krisis ekonomi pada tahun 2011, Prof. Laurence Kotlikoff memberi amaran bahawa kedudukan fiskal Amerika terpaksa memilih di antara menjadi sebuah negara yang bankrup, menaikkan cukai atau memotong perbelanjaan.

Belajarlah daripada sikap tamak mereka yang berbelanja besar, defisit besar malah hutang semakin membesar seterusnya rakyat yang semakin sengsara. Menjual aset negara dan berniaga (securities mortgages) atas pajakan pembelian rumah kerajaan sememangnya langkah yang merugikan semua. Bak kata peribahasa Melayu, “tutup lubang, gali lubang” yang mana berhutang untuk membayar hutang, pokoknya masih berhutang.

Akhir kalam, kerajaan perlu kaji balik dengan keputusan untuk menaikkan tarif elektrik, mengenakan GST, menarik subsidi dan pengurusan kewangan negara perlulah cekap dan amanah. Masih ramai rakyat di luar sana yang tidak ada rumah dan tidak ada pendapatan tetap.

Pak-pak menteri perlu fikir apakah nasib golongan-golongan bawahan yang majoriti ini, untuk berhadapan dengan pelbagai peningkatan kos sara hidup. Kerajaan tidak sepatutnya angkuh dengan sokongan 49% rakyat Malaysia dan tidak sepatutnya mengugut rakyat kerana makin kuat kerajaan menekan rakyat, makin kuat rakyat akan bangkit! – 30 Disember, 2013.