Saturday 1 February 2014

Generasi Y Malaysia boleh dan wajar goncang dunia

Ilmu itu luas, pelbagai cabang ilmu dan bidang yang boleh dan perlu diterokai oleh golongan muda. Jadikan usia muda ini waktu untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu pengetahuan. Luaskan skop pembacaan untuk memastikan ia ‘balance’ dan tidak taksub pada mana-mana pandangan dan idea. Menterjemahkan bacaan ke dalam bentuk penulisan dapat membantu proses perkembangan akal di samping mendidik masyarakat budaya membaca dan cinta kepada ilmu.


Budaya ilmu dan perbincangan ilmiah sepatutnya boleh dilakukan secara tidak formal. Perbincangan yang merangkumi aspek politik, agama dan akademik ini adalah kerana ia berkait rapat dengan generasi hari ini. Diskusi seperti ini amat penting kepada mahasiswa dalam memastikan mereka cakna dan faham isu yang berlaku di dalam negara pada hari ini. Saya sangat percaya bahawa pembentukan budaya cinta kepada ilmu dan tamadun ilmu boleh dibentuk melalui diskusi di kedai makan dan bukan terlalu fokus dalam dewan kuliah serta kelas semata-mata.


Falsafah pendidikan

Memetik ringkasan daripada tulisan Datuk Saifuddin Abdullah dalam bukunya “Memacu Transformasi”, beliau mencadangkan nisbah 70 peratus akademik dan 30 peratus kokurikulum dalam sistem pendidikan dan latihan (sekolah, IPT dan Institusi Kemahiran) bagi menggantikan nisbah 90:10 yang diamalkan sejak pertengahan tahun 2000 lagi. Saudara Anas menyanggah dan mencadangkan bahawa kita perlu keluar dari sistem sedia ada dan melihat contoh di luar serta meneroka pedagogi kritis seperti Freire.


Objektif Falsafah Pendidikan di Malaysia adalah untuk memperkembang potensi seseorang khususnya dalam konteks mahasiswa secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan modal insan yang seimbang dan harmonis daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha yang berterusan seperti ini selaras dengan matlamat asal untuk melahirkan khalifah berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi impak yang positif terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan tanah air.


Masyarakat pada hari ni memperkecilkan skop pendidikan hanya kepada masuk kelas dan peperiksaan. Itulah yang menjadi isu sebenar kenapa mereka yang skor CGPA yang tinggi tetapi sebenarnya “they are nothing”. Ramai yang menjadi mangsa dan hamba kepada sistem pendidikan sekarang ini. Mereka seakan-akan tidak jelas akan matlamat yang sepatutnya dicapai oleh insan yang bergelar mahasiswa. Jika dilihat pada hari ini ramai graduan yang keluar berbekalkan sijil kelas pertama tetapi kualitinya kurang. Suka untuk saya memetik hasil kajian daripada Prof Goleman daripada Universiti Harvard.


Kajian beliau membahagikan soft skills dan hard skill (70:30). Hasil kajian beliau menunjukkan soft skills amat penting kepada diri seseorang dan jika dikaitkan dengan fakta yang mengatakan ramai graduan yang tiada kerja maka saya boleh katakan graduan tersebut kekurangan dan lemah soft skills. Oleh itu, saya berpendirian bahawa mahasiswa yang tidak menyertai atau kurang mengambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan, kemasyarakatan, aktivisme dan persatuan mereka akan gagal dan kurang keyakinan dalam menempuh era globalisasi. Aktiviti seperti ini mampu membentuk passion mahasiswa dan seterusnya meningkatkan kualiti serta daya pemikiran kritis generasi baharu.


Politik mahasiswa

Debat merupakan pendekatan paling efektif dalam memperkukuh pemikiran intelektual dan kritis. Wasilah ini dapat menghasilkan berkomunikasi dengan efektif, berfikiran kritikal dan memberi alasan atau jawapan yang bermoral. Saya melihat senario politik sekarang jauh daripada politik berlandaskan ilmu. Generasi muda hari ini amat dahagakan politik yang seimbang tanpa diskriminasi oleh mana-mana pihak.


Saya begitu muak dengan permainan politik lucah, fitnah dan rasis dan sangat mengimpikan politik yang bersandarkan hujah dan idea. Kalau seburuk inilah keadaannya, maka saya risau akan generasi baharu yang kerajaan harapkan untuk memimpin negara masa hadapan. Oleh itu, saya merasakan signifikan kepada mahasiswa untuk tahu dan jelas apa itu politik. “Political education” begitu penting kepada mahasiswa dalam memandu mereka beraksi dalam kancah politik sebenar. Gaya politik mahasiswa di kampus khususnya, memberi gambaran bahawa begitulah gaya politik tanah air untuk masa hadapan kerana generasi muda merupakan pemimpin masa depan.


Keterbukaan dan kebebasan dalam menerima maklumat adalah penting kepada mahasiswa untuk menilai. Bagaimanapun, saya yakin bahawa generasi pada hari ini mudah untuk menerima maklumat melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter serta laman web. Saudara Anas memetik daripada T S Elliot, “Di manakah hilangnya ilmu di tengah-tengah bibit maklumat?”.


Namun selama pemerhatian, hanya sesetengah sahaja yang melakukan kajian dan faham akan maklumat yang diterima. Majoritinya hanya menerima bulat-bulat apa yang dibaca dan terus share kepada orang sekelilingnya. Generasi yang celik maklumat belum tentu celik politik kerana individu yang celik politik, mereka akan lakukan kajian dan mereka belajar dan terus belajar untuk memastikan maklumat yang diterima sama ada sahih atau tidak.


Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) memperlihatkan satu perubahan paradigma yang radikal oleh kerajaan. Pindaan seksyen 15 Auku, bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli politik tetapi berpolitik kepartian tidak dibenarkan di dalam kampus. Kalau dulu, Auku menyekat partisipasi secara langsung mahasiswa dalam politik partisan namun setelah dipinda sedikit sebanyak membuka ruang kepada mahasiswa untuk aktif berpolitik kepartian. Objektif pindaan Auku adalah untuk menegakkan hak mahasiswa berpolitik yang dijamin oleh Perlembagaan dan meningkatkan partisipasi mahasiswa dalam politik. Pindaan ini menunjukkan sedikit keterbukaan kerajaan dalam membenarkan partisipasi mahasiswa dalam politik. Namun begitu, pindaan Auku 2012 tidak memberi kesan yang besar kepada mahasiswa berbanding sebelum pindaan kerana pindaan yang dibuat tidak secara komprehensif.


Kalau Auku membelenggu mahasiswa di Universiti, Akta Institut-Institut Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) pula memberi kesan yang besar kepada rakan-rakan Institut Pendidikan Guru (IPG).


(a) Merujuk kepada Bahagian IV, Kesalahan-kesalahan, Seksyen 10 (1)

Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar sesuatu institusi, boleh menjadi ahli politik atau boleh dengan apa-apa cara bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau mana-mana jua pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang lain, sama ada atau tidak ia ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang, sama ada ianya adalah di dalam Malaysia, atau di luar Malaysia, kecuali sebagaimana diperuntukkan oleh atau di bawah Akta ini atau kecuali sebagaimana diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Menteri.


(b) Merujuk kepada Bahagian IV, Kesalahan-kesalahan, Seksyen 10 (3)

Tiada sesiapa jua, semasa menjadi seorang pelajar sesuatu Institusi, boleh menyatakan atau berbuat sesuatu yang boleh ditakrifkan sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau sebagai menyatakan sokongan atau simpati dengan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang haram.


Secara jelas, pelajar tidak dibenarkan untuk menjadi ahli mana-mana persatuan, parti politik, pertubuhan atau kumpulan sekalipun didaftarkan secara sah baik di dalam mahupun luar Malaysia. Saya berpandangan bahawa sekatan untuk pelajar menyertai dan melibatkan diri dalam persatuan atau pertubuhan, menyekat potensi pelajar untuk menggilap bakat memimpin seterusnya soft skills pelajar susah untuk dibentuk. Beberapa rakan daripada IPG pernah mengadu bahawa mereka dihalang untuk aktif sebagaimana mahasiswa di Universiti. Hal ini memberi petanda yang kurang baik kepada negara kerana tugas guru adalah untuk menghasilkan modal insan kelas pertama. Kewujudan Akta 174 tidak dinafikan banyak baiknya dan juga tidak dinafikan ia memberi kesan yang negatif kepada perkembangan potensi dan bakat pelajar.


Harapan kepada Gen Y

Ramai dalam kalangan Ilmuan Islam terdahulu, sudah memimpin ummah ketika usia muda. Sebagaimana Hassan Al-Banna (1906-1949) merupakan anak muda yang berani menubuhkan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada 1928 sehingga gerakan ini sangat terkenal pada abad ke-20 terutama generasi muda yang berpendidikan. Ikhwanul Muslimin terus menjadi tarikan terbesar kepada anak muda pada ketika itu walaupun ideologi barat seperti komunisme dan sosialisme sedang marak membakar idealisme kaum muda namun semakin ramai yang berbai’ah dengan Hassan Al-Banna.


Hassan Al-Banna membuktikan bahawa usia muda merupakan masa paling sesuai dan kemuncak untuk melakukan perubahan kepada masyarakat dunia dan Malaysia khususnya. Seperti ungkapan Anas Alam Faizli, setiap rumah perlu ada graduan dan graduan tersebut perlu menjadi ejen perubah kepada keluarga dan seterusnya negara. Beliau juga memetik daripada mukadimah oleh Ibnu Khaldun bagaimana pentingnya pendidikan dan inclusiveness kepada pendirian negara bangsa.


Waktu ini adalah paling sesuai untuk Gen Y sebagai pencetus dan ejen perubahan yang memberi impak yang positif kepada agama, bangsa dan negara.


Pengaruh orang muda amat kuat seperti mana pidato Sukarno, “Jika aku diberi 100 orang tua akan kugoncangkan sebuah gunung yang terdapat di Indonesia, manakala jika aku diberi 10 orang pemuda akan kugoncangkan dunia".


Sejarah menunjukkan ramai pemuda yang melakukan perubahan dan membantu kemenangan Islam. Generasi hari ini perlu bangkit untuk berjuang menegakkan keadilan dalam setiap chapter kehidupan, sosial, ekonomi dan agama. Asas utama dalam perubahan adalah ilmu dan idea dan ia memerlukan pembacaan yang pelbagai. Tidak perlu menyekat mana-mana idea atau pandangan kerana Gen Y berhak menilai yang mana salah atau betul. Kebangkitan anak muda berasaskan ilmu pengetahuan dan pelaksaanaan memberi signal bahawa negara kita akan lebih terjaga dan tersusun pada masa hadapan.