Friday 11 March 2011

Peranan Masjid



Masjid sebagaimana yang kita sedia maklum didefinisikan sebagai tempat ibadah umat Islam. Ini merupakan definisi secara umum. Kalimah 'masjid' dari sudut bahasa Arab membawa maksud 'tempat sujud'. Mengapa disebut tempat sujud? Sedangkan masjid merupakan tempat sembahyang dan ibadah. Kalimah ini merupakan majazi (metafora) dari sudut ilmu Balaghah di mana ia hanya menyebut satu bahagian tertentu daripada suatu perkara namun maksud sebenar adalah perkara tersebut. Seperti sujud yang merupakan satu rukun daripada rukun-rukun sembahyang digunakan di sini namun ia membawa maksud sembahyang. Ertinya masjid adalah tempat sembahyang.
Masjid Hambar Vs Kelebihan Masjid
Peranan masjid tika ini dilihat masih hambar. Walaupun ada usaha untuk memakmurkan masjid yang timbul daripada kesedaran yang tinggi, namun usaha ini masih perlu digiatkan lagi. Kesedaran perlu ditingkatkan bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk beribadah semata-mata, bahkan masjid merupakan pusat kegiatan pelbagai aktiviti umat Islam sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Masjid sangat banyak kelebihan:
مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يَبْتَغِي بِهِ وَجْهَ اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ مِثْلَهُ فِي الْجَنَّةِ
"Sesiapa yang membina sesebuah masjid kerana menuntut keredhaan Allah S.W.T., Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga". (Riwayat Bukhari)

Apa yang nyata, persepsi umat Islam terhadap masjid masih samar-samar kerana minda mereka telah digasak sekian lama bahawa masjid hanya tempat untuk beribadah sahaja. Sebarang aktiviti yang bukan berbentuk keagamaan tidak boleh dilakukan di masjid kerana ia dilihat boleh mencemarkan martabat masjid! Ini adalah persepsi yang salah. Ianya timbul daripada kekeliruan hasil daripada gerakan sekularisme yang ingin memisahkan agama daripada urusan hidup duniawi dalam diri umat Islam. Umat Islam hanya sesuai untuk beribadah sahaja, manakala aktiviti keduniaan tidak perlu diserahkan pada umat Islam. Atau dengan maksud yang lain, masjid hanya untuk kegiatan agama sahaja, manakala aktiviti lain perlu dilakukan di luar masjid.
Photo by: imandaud 
Bahagian Dalam Masjid Jamek Kuching
أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ مَسَاجِدُهَا وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللَّهِ أَسْوَاقُهَا
"Tempat yang paling disukai oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah pasar-pasarnya". (Riwayat Muslim)  

Hadith palsu yang berbunyi: Barangsiapa yang berkata-kata di dalam masjid dengan perkataan duniawi, maka amalannya terbatal selama 40 tahun! dilaungkan bahkan ditampal di dalam masjid! Ini adalah hadith yang palsu, mungkar lagi batil. Dicipta oleh golongan zindiq sekularis yang ingin memisahkan agama daripada urusan hidup berbentuk keduniaan. Kesannya umat Islam mundur, jumud, pasif dan hanya tahu tentang agama. Itu pun dengan pemahaman yang jumud juga!! Maka umat Islam menjadi seperti penganut agama lain yang berpandangan bahawa 'Tuhan' hanya ada di masjid, kuil, tokong, gereja dan saumaah. Bila keluar masjid, maka wataknya berubah. Bebas kerana tiada 'tuhan'. Yang ada hanya diri sendiri. Lalu dia pun berbuat sewenang-wenangnya sehingga melanggar batas agama!
Photo by: imandaud 
Courtyard Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya (Masjid Besi)
إِذَا رَأَيْتُمْ الرَّجُلَ يَتَعَاهَدُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ
"Apabila kamu melihat seseorang lelaki yang berulang-alik ke masjid maka saksikanlah baginya dengan keimanan". (Hadis riwayat Tirmizi)  

Islam bermaksud selamat. Masjid sebagai syiar yang penting di dalam Islam tentunya membawa mesej Islam itu sendiri ke tengah masyarakat. Kehadiran masjid menjadikan bukan sahaja dirinya sebagai zon keselamatan bahkan masyarakat sendiri berada di dalam zon salamah dengan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Ia telah dibuktikan pada zaman baginda Rasulullah SAW yang telah memperlihatkan masjid sebagai pusat membawa hidayah dan salamahkepada manusia.
Setelah Rasulullah (s.a.w.) berhijrah ke Kota Madinah, baginda telah membina masjid Quba', yang menjadi masjid pertama pada zaman awal perkembangan agama Islam. Jika diperhatikan walaupun hanya beberapa hari Rasulullah (s.a.w.) berada di Quba', dalam perjalanan baginda ke Madinah, baginda telah berusaha membina masjid.
Sekiranya masjid itu dibina hanya semata-mata untuk dijadikan tempat sembahyang maka sudah tentu ia tidak memerlukan pembinaan yang segera, tetapi oleh kerana Rasulullah (s.a.w.) melihat masjid memberikan pengertian yang lebih besar maka Rasulullah (s.a.w.) memberi keutamaan kepadanya.
Photo by: imandaud 
Aktiviti Di Masjid Nabawi, Madinah
Kita lihat setelah baginda Rasulullah (s.a.w.) tiba di Madinah, baginda telah mengambil beberapa langkah yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan yang kukuh di kalangan penduduk Islam di Madinah. Antara langkah-langkah segera yang diambil oleh Rasulullah (s.a.w.) ialah mendirikan masjid (yang terkenal dengan nama "Masjid Nabawi") dan bermula dari sinilah terpancarnya cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelosok dunia. Di samping itu baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, markas tentera dan pertahanan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.
Photo by: imandaud 
Bahagian Dalam Masjid Sultan Zainal Abidin, Putrajaya (Masjid Besi)
Dari fakta sejarah tersebut dapatlah disimpulkan bahawa masjid di masa awal Islam telah menjadi sebagai:
1. Tempat ibadat, terutama sembahyang berjemaah.
2. Tempat pembentukan peribadi umat Islam atau dalam erti kata lain masjid adalah pusat pendidikan Islam.
3. Pusat perkembangan ilmu pengetahuan kerana masjid tempat ilmu pengetahuan disampaikan baik dalam bidang akidah, syariat dan akhlak.
4. Tempat wahyu diturunkan dan sebagai tempat wahyu disampaikan kepada sahabat.
5. Pusat kegiatan kesusasteraan dan persuratan Islam. Ada sahabat yang menyampaikan syairnya dalam masjid.
6. Pusat kegiatan sosial dan kehakiman dalam perkara yang berkaitan dengan nikah kahwin dan penyelesaian masalah umat Islam.
7. Tempat letaknya Baitulmal negara.
8. Tempat persinggahan musafir dan tempat menyambut tetamu.
9. Lambang persaudaraan dan perpaduan umat Islam kerana setiap hari lima kali umat Islam bertemu dengan tujuan yang sama tanpa mengira kedudukan dan keturunan.
10. Tempat membuat perisytiharan kepada umat termasuk perisytiharan pelantikan khalifah (Abu Shuhbah, al-Sirat Nabawiyyat Fi al- Qur'an Wa al-Sunnat jld: 2 hlm: 31).

Photo by: FirdausMahadi 
Gemilau Cahaya Masjid Besi
Antara sebab masjid pada zaman silam mampu berperanan sedemikian luas ialah:
1. Keadaan masyarakat yang bersatu padu dan berpegang teguh kepada nilai keagamaan dan kebudayaan.
2. Kemampuan pembina masjid menghubungkan aspek sosial dan keperluan masyarakat dengan kegiatan masjid.
3. Manifestasi pemerintahan terlaksana di dalam masjid.

Di sesetengah masjid di negara ini, fungsi dan peranan masjid sebagaimana pada zaman keagungan Islam dulu tidak lagi dilaksanakan. Namun ia tidak bererti bahawa institusi masjid tidak mampu berperanan dalam hal berkenaan.
Dalam muktamar Risalah al-Masjid di Makkah pada 1975, soal peranan dan fungsi masjid dibincang dan disepakati bahawa masjid boleh berperanan dengan baik apabila memiliki peralatan dan ruangan yang memadai untuk:
1. Ruang solat yang memenuhi beberapa syarat keluasannya.
2. Ruang khusus untuk wanita yang memudahkan mereka untuk keluar masuk masjid tanpa bercampur gaul dengan lelaki. Ini termasuk ruang solat dan pendidikan.
3. Ruang bagi sebarang pertemuan dan bilik perpustakaan.
4. Ruang klinik dan ruang untuk memandi dan mengkafankan jenazah; dan 5. Ruang untuk beriadah bagi remaja Islam.

Semua perkara ini harus diwarnai dengan keadaan fizikal bangunan masjid, namun semestinya melaksanakan peranan masjid sebagaimana yang disebutkan di atas. (Quraisy Shihab, Wawasan al-Qur'an hlm: 463).
Photo by: FirdausMahadi 
Masjid Selat Melaka
Ringkasnya, pada zaman Rasulullah, masjid dijadikan sebagai pusat peradaban Islam. Manakala individu-individu yang mengimarahkan masjid dipuji oleh Allah SWT sebagai golongan yang menyucikan diri mereka dari najis zahir dan najis batin (dosa).
Peranan masjid perlu dihidupkan semula. Sirah telah membuktikan bahawa masjid merupakan jentera penggerak kepada perkembangan Islam ke seantero dunia. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mentadbir negara bermula dari masjid. Baginda mengajar, berpidato, bersidang, menerima kunjung hormat para tetamu, merangka strategi peperangan dan lain-lain lagi urusan keduniaan di masjid. Masjid ketika itu bukan sekadar tempat ibadah, bahkan ia adalah sebuah universiti yang telah melahirkan para graduan yang hebat iaitu para sahabat r.ahm. Masjid adalah parlimen, dewan sambutan, dewan acara dan apa saja yang ingin kita namakan. Bukan bentuk masjid yang menjadi keutamaan kerana Masjid Nabawi pada zaman itu hanya sebuah masjid yang cukup sederhana. Tidak seperti masjid-masjid zaman ini. Namun yang penting adalah pengisiannya. Bagaimana masjid perlu digerakkan agar menjadi sebuah pusat janakuasa kekuatan umat Islam kini. Apa guna masjid yang tersergam indah, tetapi kosong seperti jasad yang tidak bernyawa ditambah pula dengan jumlah jemaah yang tidak sampai pun satu saf!
Photo by: Zulhafidz
Masjid Negeri Shah Alam (Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah)
 

No comments:

Post a Comment